Nahas bas jatuh gaung: Siasatan fizikal bas selesai
BENTONG:Proses siasatan fizikal bangkai bas nahas di Genting
Highlands yang dijalankan PUSPAKOM, Institut Penyelidikan Keselamatan
Jalan Raya (MIROS) dan Forensik Polis selesai 4.15 petang tadi.
Ketua
Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Mansor Mohd Nor bagaimanapun
enggan mendedahkan punca nahas yang meragut 37 nyawa dan mencederakan 16
yang lain.
"Kita akan hantar semua hasil siasatan ke Putrajaya dan bangkai
bas akan di bawa ke Balai Polis Daerah Bentong," katanya ketika ditemui
pada sidang media sebentar tadi.
Pelatih PLKN cedera dalam pergaduhan
PEKAN: Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
cedera di tangan dan badan dikatakan selepas terbabit dalam pergaduhan
di Kem Semarak Tanjung Gosong di sini, malam tadi.
Sumber polis berkata, pelatih berusia 18 tahun itu mengalami
kecederaan selepas cuba meleraikan pergaduhan seorang rakannya dengan
seorang lagi pelatih yang masing-masing berusia 18 tahun.
"Mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu bagaimanapun dia tercedera dalam
kejadian berkenaan. Mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima
rawatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya
Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku 9.23
malam tadi.
"Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan sedang menyiasat punca pergaduhan," katanya. - BERNAMA
Samsung perkenal rangkaian GALAXY Tab 3 terbaru
Samsung GALAXY Tab 3 10.1 inci yang terbaru dikuasakan oleh prosesor Dwi Teras 1.6 Ghz dan memori 1 Gigabait.
Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd memperkenal barisan GALAXY
Tab 3 terbarunya dalam tiga saiz iaitu 7.0 inci, 8.0 inci dan 10.1 inci
untuk pasaran tempatan.
Bagi model GALAXY Tab 3 7.0 inci dan 8.0 inci, kedua-duanya kini
boleh didapati di rangkaian kedai runcit elektronik seluruh negara,
manakala bagi model 10.1 inci pula akan mula dipasarkan bermula
pertengahan September ini.
GALAXY Tab 3 7.0 inci ditawarkan pada harga RM1,099, sementara bagi
saiz 8.0 untuk model WiFi dan LTE masing-masing ditawarkan pada harga
RM1,099 dan RM1,499 seunit.
Syarikat elektronik Korea Selatan itu berkata, siri GALAXY
tab 3 itu menawarkan kepada pelanggan pelbagai bentuk untuk melihat,
mendengar, mencipta dan berkongsi acara yang bermakna dan kandungan
istimewa dengan insan penting dalam hidup mereka.
Katanya, sama ada melayari laman web di rumah atau membaca sewaktu
mengembara, setiap peranti dilengkapi dengan kandungan bermutu tinggi.
“Ia sangat sesuai digunakan bagi menonton atau berkongsi
kandungan dengan kawan dan keluarga serta merakamkan detik spontan dalam
kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.
Reka bentuk nipis
GALAXY Tab 3 7.0 inci didatangkan dengan reka bentuk senipis 9.9
milimeter dan seberat 306 gram sekali gus menjadikannya mudah dan selesa
untuk dipegang.
Ia turut dijana dengan prosesor Dwi Teras 1.2 GHz yang menawarkan
pengalaman penggunaan lancar kepada pengguna, berserta akses kepada
kandungan premium di Samsung Hub dan WatchON, ia menjanjikan hab hiburan
mudah alih yang berkuasa.
Sementara itu, bagi GALAXY Tab 8.0 inci pula, ia direka supaya
selesa dipegang menggunakan satu tangan dan sesuai untuk digunakan bagi
menonton video, bermain permainan dan membaca e-buku di mana-mana dan
pada bila-bila masa.
Peranti itu juga sesuai untuk kegunaan pelancong menerusi aplikasi
S Translator yang membolehkan terjemahan segera menerusi pengenalan
suara dan juga teks sama ada di emel, mesej teks dan ChatON.
Xiaomi Phone sasar catat untung tinggi
Lei ketika melancarkan Xiaomi Phone 2 di China, kelmarin. - Foto REUTERS
Perkhidmatan internet mudah alih lebih murah jana sumber pendapatan
Beijing: Xiaomi Tech, pengeluar telefon pintar China bagi menyaingi
iPhone, mensasarkan meraih keuntungan lebih tinggi daripada perkhidmatan
internet mudah alih yang ditawarkannya berikutan harga peranti yang
rendah.
Walaupun jualan Xiaomi Phone pada suku kedua tahun ini lebih tinggi
daripada yang dicatat iPhone, harga peranti yang jauh lebih murah
menyebabkan syarikat meraih marjin keuntungan yang kecil.
Keadaan itu, mendorong Ketua Eksekutif yang juga pengasas
syarikat, Lei Jun menyusun gerak kerja mengembangkan perniagaan internet
mudah alih China yang dianggarkan bernilai sekitar AS$30 (RM98.3
bilion) bilion menjelang 2015 daripada kira-kira AS$9 bilion (RM29.5
bilion) tahun lalu.
“Xiaomi kelihatan sedikit sama dengan Apple (iPhone), tetapi lebih
sama Amazon dan beberapa elemen serupa Google,” kata Lei yang memakai
kemeja dan seluar jeans biru dan kasut sukan dalam satu pertemuan
sempena pelancaran Xiaomi Phone 2 di sini.
“Telefon pintar hanyalah perantara,” kata Lei yang melancarkan Xiaomi Phone pada 2011.
“Microsoft menjual Windows dalam satu kotak dengan CD. Adakah ia
membuatkan Microsoft sebagai syarikat pengeluar kotak kertas,”
tambahnya.
Peranti lebih murah
Populariti telefon bimbit murah lagi menarik, Xiaomi adalah tidak
boleh dinafikan dengan telefon pintar utama, Mi 2S, adalah model paling
popular di China pada separuh pertama tahun ini, menurut syarikat
penyelidik tempatan, Antutu.
Model terbaru Xiaomi, Hongmi, dijual pada AS$130 (RM426), lebih
murah berbanding AS$770 (RM2,523) bagi iPhone 5 atau AS$470 (RM1,540)
bagi model terbaru Galaxy keluaran Samsung Electronics Co Ltd yang
menjadi peneraju pasaran di China.
Pada suku kedua tahun ini, Xiaomi berada pada kedudukan keenam daripada segi penguasaan pasaran, satu tangga di depan Apple.
Kedudukan itu bagaimanapun mungkin berubah apabila firma AS itu
dijangka memperkenalkan model rekaan semula iPhone pada September selain
mungkin mengeluarkan model lebih murah.
Jun, 43, berkata adalah sukar membuat perbandingan dengan Apple
hingga penamat dan persaingan dengan syarikat tempatan Alibaba Group
Holding, Baidu Inc dan Tencent Holdings Ltd baru bermula. - REUTERS
Perodua keluar model kereta baru pada harga terendah - Najib
RAWANG: Kerajaan memberi jaminan Perodua akan mengeluarkan model
kereta terkini pada harga terendah tahun depan, kata Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, kereta yang ditawarkan juga akan lebih efisyen dengan ciri-ciri keselamatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis sambutan Gala Raya
Perodua sempena ulang tahun ke-20 syarikat berkenaan, di ibu pejabat
Perodua, Sungai Choh, di sini, petang ini.
Empat maut helikopter terhempas di Laut Utara
LONDON: Empat disahkan maut selepas helikopter yang membawa
pekerja dari pelantar minyak berdekatan pantai Scotland terhempas, kata
polis hari ini.
Syarikat gergasi petroleum Perancis, Total berkata, kesemua mangsa adalah kontraktor syarikat berkenaan.
Helikopter itu dikendalikan syarikat penerbangan Kanada, CHC.
Helikopter jenis Super Puma AS332 L2 itu berlepas dari
Borgsten Dolphin menuju lapangan terbang Sumburgh di Pulau Shetland dan
terhempas kira-kira tiga kilometer barat destinasi mereka.
Seramai 14 orang termasuk dua anak kapal diselamatkan di laut dan dibawa ke hospital. - AFP
2 pelajar kita ditahan tentera Mesir
Sebahagian daripada pelajar Malaysia yang menuntut
di Mesir selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Kuala Lumpur: Dua penuntut perubatan Malaysia di Mesir dilaporkan
ditahan pasukan keselamatan negara berkenaan selepas didapati melanggar
arahan perintah berkurung, Selasa lalu.
Mereka yang sepatutnya dihantar pulang ke Malaysia pada hari
berkenaan, gagal dihubungi selepas mendaftarkan diri di kedutaan besar
Malaysia di Kaherah.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, Shaiful Anuar
Mohammad, ketika dihubungi BH berkata selepas diperiksa, kedua-dua
penuntut yang berasal dari Sarawak dan Melaka itu didapati ditahan
pasukan keselamatan di Helwan, Mesir.
Katanya, selepas ditahan, wakil pasukan keselamatan Mesir
terus menghubungi pihak kedutaan bagi memaklumkan penahanan itu sebelum
wakil kedutaan dihantar bagi membebaskan mereka.
“Kedua-dua mereka berada dalam keadaan baik dan pihak kedutaan
sedang menguruskan proses bagi membebaskan mereka dari tahanan pasukan
keselamatan.
Kena bayar denda
“Kami difahamkan pasukan keselamatan di sini (Mesir) menahan
mereka selepas didapati melanggar waktu perintah berkurung yang
dikuatkuasakan pemerintah sementara negara ini sejak pergolakan berlaku
minggu lalu,” katanya.
BH difahamkan, pihak kedutaan mungkin terpaksa membayar denda bagi
membebaskan dua penuntut itu yang masing-masing menuntut di Universiti
Al-Azhar, Kaherah dan Universiti Iskandariah.
Dalam perkembangan lain, Shaiful berkata hingga semalam, 588
pelajar Malaysia yang menuntut di universiti sekitar Kaherah dan
Iskandariah sudah dihantar pulang.
“Kini pihak kedutaan sudah menutup pendaftaran bagi penghantaran
pulang secara sukarela pelajar Malaysia yang berada di Kaherah dan
Iskandariah dan memfokuskan proses penghantaran penuntut kita yang
berada di daerah lain pula,” katanya.
Terpaksa catu makanan
Di Sepang, penuntut Malaysia yang baru tiba di sini, berkata rakan
mereka yang masih berada di Mesir terpaksa mencatu dan menyimpan
bekalan makanan kerana bimbang keselamatan terancam atau terkena peluru
sesat jika keluar dari kediaman.
Penuntut Universiti Al-Azhar, Nur Hidayati Suwarso, 23, dari
Kedah, berkata dia dan rakannya terpaksa menyimpan stok makanan kerana
bimbang keselamatan terancam jika keluar membeli barangan keperluan
harian di pasar atau kedai runcit berhampiran kediamannya.
“Kami terpaksa membeli stok makanan untuk seminggu sebagai langkah
berjaga-jaga berikutan krisis yang berlaku di Mesir,” katanya ketika
ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini,
semalam.
Nur Hidayati adalah antara 41 penuntut dari Mesir yang pulang ke
tanah air semalam menaiki pesawat Etihad Airways dan Emirates,
masing-masing pada jam 1.50 petang dan 3.10 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif Medic Mesir, Siti Haniza Mohd Nazri,
berkata 100 daripada 350 penuntut yang diurus agensi itu mendaftar
untuk mengikuti pengajian dalam program asasi di universiti swasta di
negara ini.
No comments:
Post a Comment